Tuesday, 17 November 2015

Perempuan-perempuan Malam

Bismillah.
Semalam selepas solat Maghrib,
Kak Fatimah datang bersama Myvi putihnya,
fetching me and Cik Zee (jiran setaman).

Dari sana,
beberapa kali kami
berhenti di lampu merah
sebelum merempuh kegelapan
tanpa simbahan lampu jalan.

Sejuk.

Mulut Cik Zee becok
menceritakan anak si polan
yang ditahan wad
dan akan dibedah Khamis depan.

Kak Fatimah menyambut berita
dengan tasbih dan doa buat
orang-orang yang diberitakan
sakit oleh Cik Zee.

Aku?
Tekun mendengar di
tempat duduk belakang
sambil sekali-sekala
memandang android
cuba untuk mengingat
ayat-ayat dari Surah Munafiqun;
taklifan yang perlu diselesaikan
sebelum Jumaat ini.

*phew*

"Tidur ke?"
Tegur Cik Zee.

Aku ketawa.
"Mana ada".

Sesampainya di rumah yang dituju,
kami solat Isya' bersama
dan diimamkan Kak Fatimah.
Setelah mengaminkan doa yang dipimpin
oleh kakak lepasan Al Azhar itu,
kami dihidangkan dengan talam
berisi nasi putih yang dikelompokkan
mengikut jumlah yang ada.

Di tengah-tengah dulang
terhidang semangkuk lauk,
ayam masak cili api.
Di kanan dan kiri bahagian nasi putih,
tersusun dua keping ikan masin
dan sejemput sayur goreng kacang panjang
yang dimasak bersama udang kecil.

"Orang muda kena makan banyak".

Modal mak cik-mak cik yang
menyebabkan berat badan naik mendadak
sejak berteduh di kawasan Batu Pahat ini.

Alhamdulillah.

Pertemuan malam tadi
didatangi oleh perempuan-perempuan
yang bagiku sangat ajaib!

Bersama mereka,
anak-anak dikendong
dan dibawa bersama.

Mata-mata kita ditemukan
oleh Allah,
untuk melihat

Sepanjang pertemuan,
aku masih melihat
kegigihan perempuan-perempuan
ini menadah telinga menerima ilmu,
tanpa segan melontarkan idea dan hasrat
tanpa membuang adab dan akhlak
dalam ketidaksetujuan terhadap
satu-satu perkara.

Ini!

Tiada dalam pengajaran
di bilik-bilik kuliah.
Apa lagi di kedai-kedai makan
dan tempat membeli belah.

Kamu!
Harus mencarinya sendiri.

Jalannya pasti ada.
:)

Wednesday, 4 November 2015

Debaran Masih Terasa III

Bismillah.
Berdebar kerana takut,
takut jika orang nampak
apa yang kita sedang perbuat.

Jaga-jaga!

Kemungkinan besar
kita sedang cuba melindungi
salah kita,
Bukankah pepatah ada menyebut:
berani kerana benar
takut kerana salah.

Namun, di sana rupa-rupanya
ada hati-hati
yang sentiasa berdebar
ketakutan sedang anggota tubuhnya
melakukan dosa.

Jadi,
bukankah itu permulaan yang baik
bagi seorang pendosa?

Dia takut
jika ada manusia yang melihatnya.
Dia bertambah takut
bila tersedar
bahawa Allah sedang melihatnya.

"Sesungguhnya,
semua anak Adam adalah pendosa,
pendosa yang terbaik ialah
yang selalu mengulang-ulang taubatnya"

Ini!
Rasul mengingatkan kita,
para pendosa,
meski jatuh berkali-kali,
jangan pernah berhenti.

*****
Punca debaran yang berbeza,
indahnya jika semuanya kerana Allah.

Debaran Masih Terasa I: saat diri diuji dengan kegagalan
Debaran Masih Terasa II : saat diserang secara fizikal dan mental

Monday, 2 November 2015

Semoga berjaya

Bismillah.
Alhamdulillah.
Allah izin untuk menaip lagi
di kanvas maya ini.

Jauh di selatan tanah air,
dekat di muara hati.
Ceceh..

Sudah ulangan keberapa
ulangkajimu, adindaku?
Mohon bergerak keluar dari
bilik kita itu,
suasana di basement
yang sentiasa sejuk itu
seringkali menjemput kita
(eh, aku seorang je rasanya)
ke alam mimpi.

Masih ingatkah dikau
saat bilik kita itu
bersepah-sepah
ibarat tongkang pecah?
Di malam-malam terakhir
sebelum kajian tindakanku dihantar?

Jangan tiru ya
perangai-perangai tu.

Wajib berusaha sungguh-sungguh
untuk ubah tabiat yang sangat buruk itu.

Tak perlu tunggu angkat senjata,
jihad melawan kantuk dan sifat malas
serta bertangguh dalam diri tu
yang perlu dilawan terlebih dahulu.

Mari,
aku ucapkan,
semoga berjaya untuk kita berdua!

:)

Saturday, 24 October 2015

Hari Kanak-kanak

Bismillah.
Alhamdulillah.
Baru menghabiskan daging ayam
yang dimasak oleh isteri pekerja di sini.

Tadi aku sempat membungkus makanan
berupa 2 ketul daging ayam dan
sedikit kentang goreng
untuk setiap pelajar, pekerja dan guru-guru
Muslim di sini selepas membaham
nasi lemak buatan Mak Jah,
panggilan kepada kerani di sekolah ini.

Adindaku, tahukah kau?

Hari ini, hari sambutan kanak-kanak
di sekolah bersebelahan kami
dan kami bakal menyambutnya
minggu hadapan bersama anak-anak murid yang lain.

Hari ini, hari makan-makan.
Rezeki hari ini mashaAllah,
mewah betul.

Apa santapanmu pagi ini adindaku?
Masih dalam usaha menghabiskan
Nutella yang digemari itukah?

:)

Adindaku,
esok tanggal 13 Muharam,
bersamaan hari Isnin,
hari kelahiran sekaligus
hari kegemaran Baginda SAW.

Jom puasa!

Sunday, 18 October 2015

Angin rindu

Bismillah.
Sedang menaip di bilik guru,
bersama aroma kopi yang menggoda jiwa.
Suasana riuh dengan borak cikgu-cikgu
yang sedang seronok menikmati waktu makan.

Apa khabar adindaku di sana?
Terkejut mendengar khabar blog bersawang ini
berjaya dijejaknya.
Entah apa ilmu yang dimiliki sampaikan
ini semua sudah menjadi bukan rahsia lagi.

Adindaku,

Aku di sini sedang melukis hari-hari
di sekolah dengan warna-warni kehidupan baru
yang sungguh berbeza dengan waktu kita bersama dulu.

Setiap hari, aku cuba untuk menyusun jadual hidupku,
menyenarai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalani selepas
aku bangun dari kerusi tempat dudukku ini.

Minggu ini minggu peperiksaan.
Anak-anak muridku sedang berjuang,
melawan kantuk akibat belajar sehingga lewat malam tadi.
Adakah kau seperti itu juga adindaku?

Loceng sudah berbunyi.
Masa untuk masuk ke kelas.
Bertemu di warkahku akan datang.
Bukan warkahmu ya kerana aku tak punya
ilmu menjejak rahsia sepertimu!

:)





Monday, 8 June 2015

Jaulah Tarbawi III

Bismillahirrahmanirrahim.

Jaulah ketiga,
dari Johor menuju ke Selangor.

Alhamdulillah, saat pos ini ditulis,
aku sudahpun berada di teratak ayah bonda.

Allah izin untuk dipertemukan dengan seorang kakak,
yang aku jumpa kurang 3 kali sebelum ini,
lebih kurang 14 tahun beza umur kami.

Aku banyak menadah telinga,
mendengar kisah yang aku kira sangat bermanfaat untuk kita,
sebagai manusia yang Allah izin berada di lorong ini.

*****

Akak lahir dari keluarga yang cukup-cukup susah,
dengan adik-beradik yang ramai, dan mak yang tidak bekerja,
ayah pula lumpuh waktu akak ambil SPM,
memang perit.

Di kampus, akak berniaga.
Setiap Sabtu dan Ahad akan pergi ke kilang-kilang,
dan akak boleh make money dan sara adik-adik akak.
Semuanya sekolah swasta.

At one time, akak boleh kata, pendapatan paling kurang
ialah RM10 000 sebulan. Akak beli kereta yang kita naik tu tunai.
Tapi, Allah tarik semua tu bila akak labur duit akak.
Masa tu, kita tengok macam okey je syarikat tu,
tapi rupa-rupanya itu skim cepat kaya.
Akak pergi pejabat tu, minggu depannya, akak pergi lagi
dan pejabat tu dah tak ada.

Satu silap akak ialah, akak tak bayar zakat.
Itu yang akak dapat reflek bila benda tu terjadi.

Pernah dalam dompet akak ada RM3 je,
hati berbelah-bahagi,
sama ada nak makan atau isi minyak motor.
Akak buat keputusan untuk isi minyak motor
dan buat kerja-kerja berniaga dan cari pelanggan
sambil berpuasa.

*****

Panjang lagi kalau nak dikisahkan.
Rupanya ada manusia seperti ini.
Wallahi.. Aku tak pernah jangka aku akan jumpa
manusia sebegini depan mata.

Aku paksa diri untuk bersyukur,
sebab kadang-kadang nikmat-nikmat
yang Allah bagi hanya sebelah mata
kita pandang.

Dengan elaun bulanan,
kemudahan tenpat tinggal,
keluarga yang menyokong,
anggota badan yang sihat
dan macam-macam lagi,
ke mana dan bagaimana kita manfaatkan
kesemua ini?

Aku kira, melafazkan alhamdulillah itu
adalah satu cara yang wajib kita buat,
untuk menunjukkan rasa syukur,
namun perkara yang lebih besar bagi kita
yang berjalan atas muka bumi Allah
dengan segala nikmat yang bukan sahaja keluar
dari perut bumi, malah yang turun dari langit
dan dikirim melalui manusia-manusia yang Allah pilih,
ialah menggunakan manfaat-manfaat tadi
untuk membantu diri dan orang lain.

Bila kali terakhir kita membantu saudara kita?
Bila kali terakhir kita memberi wang kepada saudara kita yang berhutang?
Bila kali terakhir kita melemparkan senyum kepada orang yang sedang bermuram?

Perasaan memberi di kala kita punya semua sudah tentu tidak sama ketika kita tak punya cukup wang, tetapi atas niat mahu membantu saudara kita, kita korbankan apa yang kita ada. Mampukah kita?

Di waktu hati sedang sakit dan bermuram durja, tetapi kita korbankan perasaan kita dengan melemparkan senyuman manis yang kontradik dengan hati dan perasaan kita, mampukah kita?

*****

Moga hati-hati kita sentiasa basah diembuni
peringatan-peringatan daripada Tuhan.

:')

P.s: Jaulah Tarbawi II akan menyusul. Ke Sabah bha kita.