Bismillah.
Semalam selepas solat Maghrib,
Kak Fatimah datang bersama Myvi putihnya,
fetching me and Cik Zee (jiran setaman).
Dari sana,
beberapa kali kami
berhenti di lampu merah
sebelum merempuh kegelapan
tanpa simbahan lampu jalan.
Sejuk.
Mulut Cik Zee becok
menceritakan anak si polan
yang ditahan wad
dan akan dibedah Khamis depan.
Kak Fatimah menyambut berita
dengan tasbih dan doa buat
orang-orang yang diberitakan
sakit oleh Cik Zee.
Aku?
Tekun mendengar di
tempat duduk belakang
sambil sekali-sekala
memandang android
cuba untuk mengingat
ayat-ayat dari Surah Munafiqun;
taklifan yang perlu diselesaikan
sebelum Jumaat ini.
*phew*
"Tidur ke?"
Tegur Cik Zee.
Aku ketawa.
"Mana ada".
Sesampainya di rumah yang dituju,
kami solat Isya' bersama
dan diimamkan Kak Fatimah.
Setelah mengaminkan doa yang dipimpin
oleh kakak lepasan Al Azhar itu,
kami dihidangkan dengan talam
berisi nasi putih yang dikelompokkan
mengikut jumlah yang ada.
Di tengah-tengah dulang
terhidang semangkuk lauk,
ayam masak cili api.
Di kanan dan kiri bahagian nasi putih,
tersusun dua keping ikan masin
dan sejemput sayur goreng kacang panjang
yang dimasak bersama udang kecil.
"Orang muda kena makan banyak".
Modal mak cik-mak cik yang
menyebabkan berat badan naik mendadak
sejak berteduh di kawasan Batu Pahat ini.
Alhamdulillah.
Pertemuan malam tadi
didatangi oleh perempuan-perempuan
yang bagiku sangat ajaib!
Bersama mereka,
anak-anak dikendong
dan dibawa bersama.
Mata-mata kita ditemukan
oleh Allah,
untuk melihat
Sepanjang pertemuan,
aku masih melihat
kegigihan perempuan-perempuan
ini menadah telinga menerima ilmu,
tanpa segan melontarkan idea dan hasrat
tanpa membuang adab dan akhlak
dalam ketidaksetujuan terhadap
satu-satu perkara.
Ini!
Tiada dalam pengajaran
di bilik-bilik kuliah.
Apa lagi di kedai-kedai makan
dan tempat membeli belah.
Kamu!
Harus mencarinya sendiri.
Jalannya pasti ada.
:)
No comments:
Post a Comment